Lebam muka Siti Nurhaliza belum hilang sepenuhnya, tiada patah atau pendarahan dalaman

PUTRAJAYA: Penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza, 47, memaklumkan keadaan lebam di mukanya akibat terjatuh ketika latihan Konsert Tradisional Gema Bumantara semakin pulih dan tiada komplikasi serius.
Beliau berkata demikian kepada mStar ketika ditemui pada Majlis Tahlil Tun Hasmah di Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini, pada 28 Oktober.
"Alhamdulillah, muka saya beransur pulih. Lebam hampir hilang, tetapi kerana kulit saya sensitif, lebam biru seperti ini mengambil masa yang lama untuk hilang," katanya.
Menurut Siti, tisu di mukanya masih terasa agak keras, mungkin akibat hentakan semasa jatuh, dan beliau perlu mengurutnya bagi membantu proses pemulihan.
"Selepas jatuh, saya terus ke hospital untuk imbasan CT. Alhamdulillah, tiada tulang patah dan tiada pendarahan dalaman. Doktor memberitahu lebam ini akan mengambil masa untuk pudar dan tisu muka saya mengalami kecederaan," katanya.
Insiden itu berlaku ketika Siti membuat lompatan menggunakan kain panjang sebagai prop sebelum kakinya tersangkut, menyebabkan beliau jatuh dengan muka terlebih dahulu ke lantai, seperti dalam rakaman video. Sebelum ini, penyanyi itu memuat naik gambar lebam di sekitar sudut luar dan bawah matanya serta pipi kanan menerusi Instagram Story.
Siti bersyukur beliau tidak jatuh terus ke hadapan kerana ia boleh menyebabkan kecederaan lebih serius.
"Kalau saya jatuh ke hadapan, gigi saya mungkin patah, bibir boleh pecah dan semuanya akan mengambil masa lebih lama untuk sembuh," katanya.
Beliau berkata, ini kali pertama beliau terjatuh ketika membuat persembahan. Siti masih mampu menyanyi dan menamatkan konsert yang berlangsung pada 17 Oktober itu, yang disifatkannya sebagai berjaya.
Foto: Farouk Azim / Wikimedia Commons (CC BY-SA 4.0)




