Jumaat, 30 Oktober 2026
TERKINI
Longkang tidak dibersih punca banjir kilat di Taman Indah KLIA, SepangPRN Melaka: Kerk berdepan cabaran sengit pertahan Ayer Keroh, Gerakan diuji isu 'perpaduan Melayu'Kiandee persoal Bersatu: Pecat juga Muhyiddin dan lima Ahli Parlimen yang tandatangani CSA?Pembinaan pertahanan di Sabah bukan tindak balas terhadap Filipina – KhaledPeruntukan jalan luar bandar naik hampir tiga kali ganda, projek tidak dibatalkan – Tengku ZafrulPulau Pinang unjur defisit bajet terendah RM5.26 juta bagi 2027Mahkamah Tinggi Shah Alam benar bekas olimpik simpan tiga kucing di kondominiumPersiapan Deepavali rancak di seluruh negara, pasar dan kedai mula dibanjiri pengunjungPindaan UUCA dibentang Disember, kerajaan kaji nyahklasifikasi dokumen sejarahPolis siasat paparan kandungan lucah pada LED milik Majlis Perbandaran Kluang

Adendum: AGC Fail Rayuan Ke Mahkamah Persekutuan Dalam Kes Najib

KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) telah memfailkan notis untuk memohon kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan bagi merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan semakan kehakiman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan awal petang ini, AGC menyatakan bahawa rayuan tersebut dibuat berikutan percanggahan tafsiran undang-undang antara Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

Selain itu, terdapat juga isu berkaitan undang-undang perlembagaan yang perlu diberikan perhatian oleh Mahkamah Persekutuan. Bulan lalu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 2-1 telah membenarkan permohonan Najib untuk memulakan semakan kehakiman. Semakan ini bertujuan memaksa Menteri Dalam Negeri dan kerajaan menguatkuasakan titah yang didakwa dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong sebelum ini.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan semakan kehakiman tersebut. Isu utama dalam kes ini berkaitan dengan titah tambahan (adendum) yang didakwa ditandatangani oleh Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Adendum itu dikatakan memberi kebenaran kepada Najib untuk menjalani baki hukuman penjara di rumah berbanding di Penjara Kajang. Istana Pahang sebelum ini mengesahkan kewujudan adendum tersebut melalui surat yang dikemukakan di mahkamah.

Namun, pihak peguam kerajaan berhujah bahawa adendum itu tidak dibincangkan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan, yang ketika itu dipengerusikan oleh Al-Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Dalam mesyuarat tersebut, Lembaga Pengampunan hanya memutuskan untuk mengurangkan hukuman Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun penjara, serta mengurangkan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

“AGC percaya bahawa langkah memfailkan usul ini bukan sahaja penting untuk memastikan keadilan dalam kes ini, tetapi juga bagi menegakkan prinsip keluhuran Perlembagaan dan undang-undang, serta memperjelaskan tafsiran undang-undang demi manfaat semua pihak,” menurut kenyataan itu. Notis usul AGC itu telah difailkan di Mahkamah Persekutuan semalam.

TopikAdendumAGCnajib

Jabatan Peguam Negara (AGC) telah memfailkan notis untuk memohon kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan bagi merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan semakan kehakiman bekas Perdana Menteri, [lanjut…]

Berita berkaitan