Jumaat, 30 Oktober 2026
TERKINI
Longkang tidak dibersih punca banjir kilat di Taman Indah KLIA, SepangPRN Melaka: Kerk berdepan cabaran sengit pertahan Ayer Keroh, Gerakan diuji isu 'perpaduan Melayu'Kiandee persoal Bersatu: Pecat juga Muhyiddin dan lima Ahli Parlimen yang tandatangani CSA?Pembinaan pertahanan di Sabah bukan tindak balas terhadap Filipina – KhaledPeruntukan jalan luar bandar naik hampir tiga kali ganda, projek tidak dibatalkan – Tengku ZafrulPulau Pinang unjur defisit bajet terendah RM5.26 juta bagi 2027Mahkamah Tinggi Shah Alam benar bekas olimpik simpan tiga kucing di kondominiumPersiapan Deepavali rancak di seluruh negara, pasar dan kedai mula dibanjiri pengunjungPindaan UUCA dibentang Disember, kerajaan kaji nyahklasifikasi dokumen sejarahPolis siasat paparan kandungan lucah pada LED milik Majlis Perbandaran Kluang

Perbezaan pendapat antara kementerian bukan tanda kerajaan berpecah – Anwar

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan perbezaan pendapat antara kementerian tidak semestinya menunjukkan wujud keretakan dalam kerajaan.

Menurut beliau, kerajaan memastikan penyelarasan antara kementerian dilaksanakan dengan berkesan bagi mengekalkan konsistensi dasar, mengelakkan pertindihan fungsi dan memastikan keputusan mencerminkan kepentingan awam serta kemampuan fiskal.

"Kerajaan ingin menegaskan bahawa perbezaan pendapat atau pendekatan antara kementerian tidak semestinya mencerminkan perpecahan dalam kerajaan.

"Sebaliknya, ia sebahagian daripada proses perbincangan dan pertimbangan dasar yang mengambil kira tanggungjawab, bidang kuasa dan keutamaan masing-masing," katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Anwar berkata demikian ketika menjawab soalan Ketua Pembangkang, Hamzah Zainudin, yang meminta penjelasan mengapa Kementerian Kewangan dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah boleh mengeluarkan pendirian yang bercanggah secara terbuka.

Pertikaian sebelum ini timbul berhubung peruntukan projek jalan luar bandar di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah yang diterajui Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi.

September lalu, Zahid menzahirkan kekecewaan terhadap kelewatan bayaran kepada kontraktor yang telah menyiapkan projek dan mencapai sasaran. Menurutnya, kelewatan itu menyebabkan masalah aliran tunai dan memaksa sesetengah kontraktor gulung tikar.

Namun, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Johan Mahmood Merican, menafikan sebarang sekatan ke atas peruntukan jalan luar bandar kementerian itu dan berkata jumlah penuh yang diluluskan telah dikeluarkan. Beliau mengaitkan kelewatan bayaran dengan peruntukan tahun ini yang hampir habis, selain mendakwa kementerian berkenaan sentiasa membuat komitmen dan berbelanja melebihi bajet yang diluluskan. Kementerian Kewangan kemudian meluluskan tambahan RM300 juta bagi menyelesaikan bayaran tertunggak kepada kontraktor.

Pertikaian itu berlanjutan pada 20 Oktober apabila Kementerian Kewangan mendedahkan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah menerima RM500 juta lagi daripada penjimatan peruntukan pembangunan kementerian lain bagi menampung perbelanjaan melebihi bajet tahunannya. Kementerian Kewangan turut memaklumkan kementerian itu diarah menggantung surat tawaran baharu bagi projek jalan luar bandar mulai 10 September untuk mengelakkan tunggakan bayaran bertambah.

Anwar berkata dasar dan keputusan kerajaan perlu melalui proses pertimbangan dan penyelarasan yang sewajarnya, manakala perkara yang memerlukan keputusan kolektif akan dibawa ke Kabinet.

"Kerajaan akan terus memperkukuh kerjasama antara kementerian, meningkatkan keberkesanan pelaksanaan dasar dan memantau pencapaian setiap inisiatif bagi memastikan keputusan yang dibuat diterjemahkan kepada hasil nyata dan mampu bertahan yang memberi manfaat kepada rakyat," katanya.

TopikAnwar IbrahimDewan RakyatKementerian KewanganKPLBHamzah Zainudin

Berita berkaitan