Jumaat, 30 Oktober 2026
TERKINI
Longkang tidak dibersih punca banjir kilat di Taman Indah KLIA, SepangPRN Melaka: Kerk berdepan cabaran sengit pertahan Ayer Keroh, Gerakan diuji isu 'perpaduan Melayu'Kiandee persoal Bersatu: Pecat juga Muhyiddin dan lima Ahli Parlimen yang tandatangani CSA?Pembinaan pertahanan di Sabah bukan tindak balas terhadap Filipina – KhaledPeruntukan jalan luar bandar naik hampir tiga kali ganda, projek tidak dibatalkan – Tengku ZafrulPulau Pinang unjur defisit bajet terendah RM5.26 juta bagi 2027Mahkamah Tinggi Shah Alam benar bekas olimpik simpan tiga kucing di kondominiumPersiapan Deepavali rancak di seluruh negara, pasar dan kedai mula dibanjiri pengunjungPindaan UUCA dibentang Disember, kerajaan kaji nyahklasifikasi dokumen sejarahPolis siasat paparan kandungan lucah pada LED milik Majlis Perbandaran Kluang

Perdagangan Malaysia-AS naik 39.6 peratus walaupun dikenakan tarif tambahan – Johari

KUALA LUMPUR: Perdagangan Malaysia dengan Amerika Syarikat (AS) terus berkembang kukuh walaupun tarif tambahan dikenakan ke atas sebahagian eksport negara, dengan jumlah dagangan melonjak 39.6 peratus kepada RM378.70 bilion bagi tempoh Januari hingga September tahun ini.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, eksport ke AS sahaja meningkat 69.1 peratus kepada RM282.07 bilion, dipacu terutamanya oleh permintaan tinggi terhadap produk elektrik dan elektronik (E&E), khususnya semikonduktor.

Menurutnya, permintaan itu didorong oleh pertumbuhan pesat teknologi kecerdasan buatan (AI) dan pusat data.

"Faktor kritikal yang memacu pertumbuhan ini ialah kelebihan strategik Malaysia apabila dikecualikan daripada tarif tambahan AS ke atas kebanyakan produk semikonduktor dan E&E," katanya dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat pada Selasa, 27 Oktober.

Johari berkata, sektor E&E menyumbang kira-kira 64.2 peratus daripada keseluruhan eksport Malaysia ke AS, manakala semikonduktor membentuk 44 peratus daripada jumlah eksport E&E.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Amirudin Shari (PH-Gombak) mengenai kesan tarif AS terhadap industri tempatan sepanjang 2026 dan pasaran alternatif yang diterokai kerajaan untuk membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mengeksport produk mereka.

Bagaimanapun, katanya, eksport sarung tangan getah, perabot dan peranti perubatan ke AS mencatat penurunan. Pasaran AS menyumbang kira-kira 32 hingga 47 peratus daripada jumlah eksport Malaysia bagi produk-produk tersebut.

Eksport sarung tangan getah ke AS bagi tempoh Januari hingga September 2026 susut 1.6 peratus kepada RM5.0 bilion berbanding RM5.1 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.

Eksport perabot pula jatuh 19.2 peratus kepada RM3.77 bilion daripada RM4.67 bilion, manakala peranti perubatan merosot 12 peratus kepada RM8.74 bilion daripada RM9.93 bilion.

"Ini menunjukkan walaupun eksport keseluruhan ke AS terus mencatat pertumbuhan positif, beberapa industri utama Malaysia berdepan tekanan untuk menanggung kos tarif AS atau menawarkan diskaun kepada pembeli bagi mengekalkan daya saing dan akses ke pasaran AS," katanya.

Johari berkata, kementeriannya sedang meluaskan akses pasaran menerusi pelbagai perjanjian perdagangan bebas (FTA), selain meneroka pasaran bukan tradisional di Asia Barat, Afrika, Amerika Latin dan Asia Selatan.

Langkah itu, katanya, sudah menunjukkan hasil apabila eksport sarung tangan getah ke Oman melonjak 712 peratus, diikuti Brazil (84.6 peratus) dan Sweden (80.8 peratus).

Eksport peranti perubatan ke Korea Selatan pula meningkat 206 peratus dan ke Singapura 74.9 peratus, manakala eksport perabot ke Guyana naik 586.1 peratus dan ke Taiwan 140 peratus.

Johari menambah, kementerian akan terus memantau perkembangan dasar perdagangan AS dan mengambil langkah proaktif bagi melindungi pengeksport tempatan serta mengurangkan kesan tarif terhadap PMKS.

TopikJohari Abdul GhaniMITIAmerika Syarikattarifeksport

Foto: H. Zell / Wikimedia Commons (CC BY-SA 3.0)

Berita berkaitan