Suami didakwa bunuh isteri, pegawai AKPS di kuarters KLIA Nilai

SEREMBAN: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan membunuh isterinya, seorang pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS).
Tiada pengakuan direkodkan daripada Mohd Khairudin Safi'ai, 37, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli.
Dia didakwa membunuh Norhazwani Ibrahim, 35, di sebuah unit kuarters kerajaan KLIA di Nilai kira-kira jam 7 malam pada 15 Oktober lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 22 Disember ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat lengkap.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Farah Wahidah Mohd Sharip, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. Mohd Khairudin berada dalam tahanan reman sejak 16 Oktober.
Bedah siasat dilaporkan mendapati mangsa meninggal dunia akibat tekanan pada leher. Pemeriksaan itu turut dilaporkan menemui tiga kesan tikaman, dua di perut dan satu di pipi kanan.
Pihak berkuasa turut merampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu serta beberapa barang bukti lain dari lokasi kejadian.
Foto: kristinafh / Wikimedia Commons (CC BY 2.0)




