Syarikat MoF Inc tandatangani perjanjian guna semula RM5 bilion pinjaman Cexim untuk bekalan air Perak

PETALING JAYA: Kementerian Kewangan mengumumkan syarikat milik MoF Inc, Suria Strategic Energy Resources Sdn Bhd (SSER), memeterai perjanjian dengan Export-Import Bank of China (Cexim) untuk menggunakan semula RM5 bilion pinjaman bagi membiayai Skim Bekalan Air Perak Utara.
Kementerian itu menyifatkan perjanjian tersebut sebagai "pencapaian ketara" dalam usaha memulihkan sebahagian daripada pinjaman RM8 bilion daripada bank berkenaan, yang asalnya untuk membiayai projek Saluran Paip Gas Trans-Sabah dan saluran paip pelbagai produk. Kedua-dua projek itu telah ditamatkan pada 2018.
Kementerian menjelaskan kerajaan masih bertanggungjawab membayar balik pinjaman RM8 bilion itu walaupun projek berkenaan dibatalkan. Isu tersebut kekal tidak selesai walaupun tiga pentadbiran terdahulu berusaha menanganinya.
"Pemeteraian perjanjian ini menandakan pencapaian penting bagi kerajaan Madani dalam menyudahkan rundingan dan memperoleh pemulihan separa pinjaman dengan menggunakan semula RM5 bilion untuk melaksanakan Skim Bekalan Air Perak Utara," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut kementerian, perjanjian itu mengurangkan kerugian akibat projek saluran paip yang dibatalkan dan memastikan RM5 bilion boleh digunakan untuk membangunkan infrastruktur penting yang memanfaatkan rakyat, khususnya di Perak dan Pulau Pinang.
Skim Bekalan Air Perak Utara akan memindahkan air mentah dari Sungai Perak ke empangan Bukit Merah dan merangkumi pembinaan loji rawatan air di Kamunting dan Bogak.
Projek itu disasarkan membekalkan 700 juta liter sehari ke utara Perak, termasuk kawasan perindustrian Kerian, 300 juta liter sehari ke Pulau Pinang, serta 500 juta liter air mentah sehari bagi pengairan pertanian.
Foto: Doc Searls / Wikimedia Commons (CC BY-SA 2.0)




